Di sebuah kota, tinggal sepasang suami isteri yang sungguh bahagia kehidupan mereka. Mereka saling cinta-mencintai dan saling percaya-mempercayai. Kehidupan mereka yang harmoni menjadikan mereka sentiasa bersemangat dalam menempuh hari-hari mendatang.
Suatu hari, sepasang suami isteri tersebut ingin membeli seorang hamba perempuan sebagai pembantu rumah yang baharu dikenali. Tujuannya, untuk meringankan beban si isteri dalam menguruskan kerja-kerja harian di rumah. Mereka juga mendapat tahu bahawa hamba itu seorang yang rajin, pandai memasak dan cekap membuat kerja rumah. Tetapi hamba itu dikhabarkan turut memiliki mulut yang jahat dan dinasihatkan agar tidak mengambilnya bekerja. Tetapi pasangan itu tidak mengendahkannya. Maka, bermulalah hamba itu bekerja sebagai pembantu rumah di rumah mereka.
Seperti kehidupan hamba-hamba yang lain, hamba itu menjalankan tugas dengan sempurna. Pasangan yang hidup bahagia tersebut turut berasa senang dengan tugasan yang dilakukan hamba mereka. Sehinggalah pada suatu hari, si suami ditugaskan untuk berkerja jauh untuk seketika waktu.
Suatu masa terluang, si isteri telah menceritakan kebahagiaannya hidup bersama suaminya kepada hamba itu. Sungguh mengasyikkan. Tambahan pula suaminya itu bakal pulang ke rumah pada hari tersebut. Kemudian, hamba itu berkata kepada si isteri, "Adakah puan mahu suami puan lebih menyayangi puan dari sebelum ini?". Sudah tentulah si isteri inginkan sedemikian lantas berkata, "Apakah boleh aku lakukan agar suamiku semakin mencintaiku?". Lalu hamba tadi mengajarkan suatu rahsia di mana si isteri perlu memotong janggut si suami pada sebelah malam ini dengan pisau dan disimpan di dalam bekas dan diletakkan di atas almari. Dengan berbuat demikian, sudah pasti kasih si suami kepada si isteri akan bertambah marak. Disebabkan terlalu gembira dengan cara sedemikian, si isteri terus menerima nasihat hamba itu dan mengucapkan terima kasih.
Maka, pulanglah si suami ke rumah dan disambut dengan penuh kasih dan gembira. Sebelum tiba waktu malam, hamba itu sempat mengkhabarkan kepada si suami suatu rahsia yang tidak diketahui orang, "Wahai tuan, aku mendapat tahu bahawa isteri tuan ingin membunuh tuan pada malam ini". Lalu si suami memarahi hamba itu dengan nada tidak mempercayainya dan hamba itu lantas berkata, "Jika tuan tidak percaya, tuan saksikanlah sendiri pada malam ini". Sama ada si suami percaya atau tidak, dia mesti menyaksikan rancangan isterinya itu pada waktu malam tersebut.
Seusai menjamah makan malam, si suami dan si isteri ke kamar mereka dengan fikiran masing-masing yang membelenggu. Si suami tidak tidur langsung kerana berwaspada. Maka, pada tengah malam itu bermulalah rentak si isteri untuk memotong janggut si suami. Sebaik sahaja pisau diacukan ke dagu si suami, berasa sungguh kecewalah si suami dengan perbuatan isterinya lantas berteriak, "Celakalah kau wahai isteri yang tidak kenang budi!", sambil menikam-nikam isterinya yang disangka untuk membunuhnya dengan pisau yang dirampas. Maka, terpancutlah darah dari tubuh si isteri hingga terkena ke dinding bilik. "Abang... Abang... Abang... Abang... ", rayu si isteri yang semakin lemah dan tidak berdaya untuk melawan apatah lagi ingin menerangkan perkara sebenar. Dengan itu, terbujur kakulah si isteri yang telah mati sementara si suami yang berasa kecewa sungguh berpuas hati biarpun berasa tersangat sedih kerana menyangka isterinya telah mengkhianatinya.
Keesokan harinya, si suami ditangkap pihak berkuasa dan dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan membunuh isterinya. Maka, merdekalah hamba itu dan terlepaslah dia dari tuannya...
Sedihnya mendengar kisah ini. Kesimpulannya : ....................................... .
No comments:
Post a Comment