Penglahiran bakat kreatif. Suatu perasaan telah bermain di benak
mindaku yang sentiasa inginkan cambahan maklumat baru, tertanya-tanya apakah
yang bakal dipelajari dalam kursus unik ini di universiti. Terlintas di
lubuk hati bagaikan berada di kawah kebudayaan. Walau bagaimanapun, hatiku
girang setelah diulas Dr. Kamariah Kamarudin bahawa kursus ini bakal menyinar
bakat-bakat terpendam mahasiswa dan mahasiswi yang bersamanya dalam tempoh satu
trimester. Beliau merupakan pensyarah yang tidak asing lagi bisa mencipta karya
yang menebal kemelayuannya. Hatiku yang gemarkan sastera dan puisi Melayu yang
disulam indah bahasanya umpama mentari terbit di ufuk timur di waktu hening
pagi melebihkan lagi kecintaan aku terhadap bahasa Melayu. Kerana aku telah
percaya, akulah antara insan seni yang sentiasa teruja dengan sesuatu yang
kreatif.
Tugasan pertama
dihadiah Dr. Kamariah kepada aku dan sahabat untuk membuat lawatan berkumpulan
sebelum menghasilkan karya. Wah! Aku bakal disaji lagi dengan kenangan baru
bersama sahabat-sahabat yang sememangnya mampu menyimpan memori indah pada masa
mendatang setelah sekian lama mengakhiri zaman pengajian diploma dahulu. Kami
akan dibentuk beberapa kumpulan dan disaran memilih destinasi yang diperhalusi
dan dipersetujui untuk menterjemah bakat masing-masing dalam berkarya di sana
nanti.
Masjid Negara.
Itulah destinasi yang disepakati aku dan sahabat untuk melahirkan sebuah karya
yang bakal dikarang masing-masing oleh kami nanti. Selangkahnya aku ke Masjid
Negara, hatiku menjadi tenang setenang tasik di lembah kayangan. Kolam air yang
luas beserta pancutan air yang diatur rentak membayangkan seolah-olah aku
berada di sungai semulajadi yang jernih airnya. Ukiran unik pada bangunan
masjid membuatkan aku terpesona dengan lakaran-lakaran indah yang jarang aku
ketemui. Ayat-ayat Allah yang memenuhi dinding-dinding masjid di ruangan utama
solat menjadikan aku lebih terpesona dan berasa semakin kerdil dengan
keagunganNya. Ayat Al-Quran yang dipaparkan menyulam tenang hatiku. Aku yang
sememangnya sentiasa mengharap ketenangan dalam hidup ini mampu merasai
keindahan Masjid Negara yang dijanji Ilahi sebagai taman-taman syurga.
Teruja sejenak di
pangkalan mindaku apabila mendapati banyak bangsa-bangsa asing dari luar negara
sempat berkunjung ke Masjid Negara untuk melihat keunikan bangunan yang
tersergam itu di tengah-tengah kota metripolitan yang penuh dengan kesibukan
tidak terduga. Hatiku bisa tertawa kecil mamandang jubah ungu telah disarung
pelancong wanita yang belum biasa mengenakan sehelai pakaian yang melindung
auratnya di masjid itu. Moga mereka disaji hidayah dariNya.
Melihatkan juga
kunjungan umat Islam dari pelbagai negara termasuk Malaysia yang berkunjung ke
Masjid Negara membuatkan aku bungkam tidak berkata apa-apa. Bungkam kerana
percaya ketulan hati mereka masih menebal mengharap redha yang Maha Kuasa.
Mereka yang sempat beristirehat di dalam bangunan besar itu terpancar raut
wajah yang riang dan tenang yang begitu sukar untuk aku gambarkan di sini.
Seolah-olah kekosongan dan kesepian jiwa mereka di dunia ini diisi dengan
sesuatu yang berharga yang tidak mungkin boleh dijual beli. Anak-anak kecil
yang belum pernah mengenal erti kehidupan turut terluah rasa riang dalam diri
mereka bersama keluarga tercinta di mana tidak sedar ketenangan itu juga telah
berpaut dalam bibit-bibit senyuman
mereka. Apa yang pasti, aku juga merasai keriangan dan ketenangan itu tanpa
mudah untuk aku rungkaikan. Kerana aku telah percaya, hanya masjidlah destinasi
paling hebat lebih dari destinasi-destinasi di seluruh pelojok dunia untuk
menimba keriangan dan juga ketenangan sebagai gedung ibadah dan ilmu.
Melihatkan gelajat
pengunjung-pengunjung pilihan Ilahi itu ke Masjid Negara, timbul pada perasaan
aku untuk mewujudkan watak seorang insan bernama Isma dalam karyaku. Dia ingin
kembali kepada Tuhannya untuk mengharap redha dan rahmat setelah bertarung masa
dan keadaan menempuh hidup yang penuh dengan kekosongan dan kesepian seawal
remaja. Dengan keterbukaan diriku menyambut cabaran untuk berkarya, aku telah
membuat keputusan tepat untuk menghasilkan sebuah novel yang turut menyertakan
watak-watak yang melengkapkan jalan penceritaan perjalanan hidup Isma seperti
Pak Yusof sebagai bapa, Mak Pah sebagai ibu dan watak rakan-rakan yang turut
mempengaruhi hidupnya seperti Fardi, Zaili, Faiz dan banyak lagi dari pelbagai
daerah dan negeri.
Aku mengharap redha
Ilahi agar novel yang bakal aku sempurnakan memberi kesan mendalam kepada
pembaca untuk menyedari sesuatu yang tersirat mesti diambil peduli agar tiada
yang tersakiti.