Monday, March 25, 2013

Terjaga

Acap kali diri ini terjaga, atau terbuka mata, atau bangun dari buaian lena seawal pagi jam 3.00, jam 4.00, jam 5.00. Mulanya tiadaku sedari, apakah ertinya terjaga di saat sekalian manusia yang dalam kesejukan malam masih di alam buaian mimpi. Sehinggalah mulut berbibir merah ini beria bercerita kepada kakak sulung yang semakin mengenal Islam dalam dirinya. Aku juga ingin mencontohinya. Katanya, "Allah sebenarnya mahukan kamu berjumpa denganNya". Aku terkesima. Akukah insan terpilih? Terpilih untuk sujud kepada Allah Yang Maha Pemurah di sepertiga malam? Aku bersyukur.

Selepas sebulan nasihat bermanfaat itu, boleh kira setiap pagi aku terjaga dari tidur pada masa sepertiga malam. Hanya beberapa hari sahaja aku tiada terjaga. Faktor kepenatan melampau. Adakalanya cita-citaku untuk berqiamullail tercapai, tetapi diri ini sungguh berat untuk bangun malam. Ruginya.

Sudah 3 malam aku berqiamullail. Sungguh teruja dan bersyukur aku kepada Allah. Ya Allah, Kau berikanlah lagi kekuatan kepadaku agar berqiamullail kepadaMu pada setiap malam. Aku rindu akan Engkau Ya Allah. Terima kasih Ya Allah kerana memilihku. Dahulunya, qiamullail yang aku lakukan sekadar syarat sebagai seorang pelajar asrama dan aktiviti qiamullail di tempat pengajian mahupun tempat kerja. Kini, aku berjaya melakukannya dengan hatiku yang rela.

Hidupku diuji dengan ujian-ujian yang sangat berat. Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kadang-kala, hati ini terdetik, mengapa diriku acap kali diuji dengan ujian seberat ini. Hampir 5 tahun sudah. Aku sedaya bermuhasabah. Muhasabah bahawa keyakinanku kepada Allah yang mesti beristiqomah. Ya Allah, ampunkan aku kerana terdetik dengan bayangan itu. Jadikan aku redha dengan segala ujian yang didatangkan kepadaku olehMu. Ya Allah. Maafkan aku. Setelah aku berfikir dan yakin dengan ujian yang Engkau berikan, aku redha Ya Allah. Maafkan aku Ya Allah. Sepatutnya, aku tiada boleh terbayang kalimah 'mengapa?'

Inilah yang dikata penghapus dosa. Dahulunya, diri ini acap kali leka dengan keseronokan dunia yang palsu. Keseronokan yang tiada manfaat. Keseronokan yang penuh buruan nafsu. Keangkuhan, keegoan, kemarahan sering terpancar disebabkan ketidakpuasan yang menimpa diri samada dari diri sendiri mahupun orang lain. Adakah dendam aku benar-benar terbela? Oh! Ruginya. Mana kesabaran yang pernah aku belajar dahulu?

Kini, aku mahu kembali. Kembali kepada Ilahi. Sudahku azamkan dengan hati ini. Inginku bersihkan hatiku yang bertompok-tompok hitam. Walaupun diri ini insaf dan ingin menjadi soleh, adakalanya aku didatangkan ujian-ujian yang mengusik emosiku lagi. Tetapi aku redha. Bahawa Allah Maha Adil. Teringat kata-kata anak muridku di 'muka buku'nya, "Apabila kita ingin berubah menjadi baik, kadangkala banyak dugaan yang datang menguji diri". Ya, memang benar. Akukah orang itu? Adakah hasratku ingin kembali kepada Ilahi dan  menjadi soleh tercapai? Ya Allah, makbulkan hasratku.

Aku berazam agar qiamullail menjadi rutin harianku setiap malam. Moga Allah sentiasa bersamaku dengan ketenangan yang sentiasa Allah berikan kepadaku dan kepada mereka yang beriman. Aamiin.