Tajuk kerja kursus : Bincangkan tentang perniagaan bebentuk
‘car boot’ yang kini berleluasa di Malaysia. Cabaran dan masa hadapan perniagaan
ini. 2000 perkataan.
Darsa
warsa ini, Malaysia tidak ketinggalan dalam
mengorak langkah mempelbagai sumber ekonomi selari dengan keperluan
masyarakat seluruh dunia.Walaupun Malaysia masih dikenali dengan Negara
membangun, itu bukan penghalang rakyatnya untuk mencipta variasi ekonomi yang
diidamkan penduduk tempatan mahupun antarabangsa seperti pembuatan kraftangan,
makanan, pakaian dan sebagainya. Kalau tidak, masakan negara-negara jiran turut
mengimport sumber keperluan yang ada di Malaysia seperti buah-buahan, makanan
laut, bijirin, perabot dan sebagainya untuk keperluan mereka. Selagi ada
permintaan, selagi itulah ekonomi Negara bergerak.
Walaubagaimanapun,
perubahan sistem ekonomi dunia sekali sekala mengganggu pasaran harga barangan seluruh
dunia khususnya dan tidak kertinggalan terhadap rakyat Malaysia amnya. Rentetan
itu, haruslah rakyat Malaysia berbelanja secara berhemah walaupun banyak pasaraya
dan kedai tidak henti-henti mengeluarkan produk baru yang dijana sesuai dengan peredaran
semasa. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi, untuk memperoleh barangan berkualiti
dan berjenama dengan harga mencecah ratusan ringgit bukanlah suatu masalah berbanding
mereka yang berpendapatan sederhana mahupun rendah. Selain itu, pergantian barangan
yang baru memaksa kalangan berada untuk mengeluarkan barangan terpakai yang
lama dari kediaman mereka yang dianggap ‘sampah’. Barangkali bagi mereka yang
perihatin, barangan tersebut diberikan terus kepada masyarakat yang
jarang-jarang memperoleh barangan berjenama seperti di rumah-rumah kebajikan.
Berbeza
di United Kingdom, barangan terpakai yang masih elok dan pada masa yang sama tidak
diperlukan lagi akan ‘dikitar semula’ melalui aktiviti menjual barangan tersebut
dengan harga yang lebih rendah sekaligus dianggap sebagai aktiviti masa lapang.
Daripada terbuang begitu sahaja, tiada salah barangan terpakai tersebut dijual semula
dan sekurang-kurangnya mereka memperoleh pulangan walaupun pulangan tidaklah menjurus
kepada keuntungan semata-mata. Di sana, terdapat kira-kira 800 kawasan menjual barangan
terpakai dan di Nottingham sahaja, terdapat kira-kira 28 kawasan yang diadakan setiap
minggu untuk aktiviti ini. Kebiasaannya, pemilik-pemilik akan mengumpulkan barangan
tersebut di dalam kereta mahupun van dan mereka akan berkumpul di suatu tempat
yang luas seperti padang, tempat parkir kereta mahupun dewan tertutup apabila menjelang
musim sejuk pada hujung minggu di hari Sabtu dan Ahad untuk menjual barangan tersebut.
Aktiviti seperti inilah yang dikenali sebagai ‘car boot’ atau dalam Bahasa
Melayunya ‘jualan terus dari but kereta’. Adakalanya, aktiviti seperti ini turut
diadakan pada hari bekerja di sebelah petang bergantung kepada keadaan semasa. Jadi,
penduduk-penduduk di negara sana akan mengisi masa lapang bersama keluarga khususnya
di hujung minggu dengan mengunjung tempat-tempat sebegini sekaligus memperoleh barangan
yang dikehendaki. Pengunjung kebanyakannya daripada kalangan berpendapatan rendah
yang menyedari diri mereka tidak selari dengan aliran perubahan ekonomi semasa.
Demikian bukan kerana mereka tidak mampu dengan harga yang ditawarkan di
pasaraya mahupun kedai, tetapi mereka lebih yakin dan percaya dengan saluran runcit
alternatif yang ada seperti jualan car boot. Tidak dinafikan aktiviti car boot
ini turut dikunjungi oleh penduduk di kalangan yang berpendapatan tinggi.
Untuk
pengenalannya, penulis akan menjelaskan secara terperinci apa yang dikatakan dengan
jualan car boot (Car Boot Sale). Jualan car boot adalah satu acara dimana penjual
atau pemilik menjual barang-barang terpakai mereka kepada pengunjung-pengunjung
yang datang untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki dengan harga yang lebih
rendah berbanding di pasaraya, butik mahupun kedai yang sememangnya dijual dengan
harga mahal dan standard. Barang terpakai yang dijual masih elok dan baik seperti
barangan keperluan rumah, barangan hiasan rumah, peralatan pinggan magkuk,
peralatan kebun, barangan elektrik, barangan antic dan baju-baju pemilik yang
mungkin tidak boleh digunakan lagi kerana ketat dan sebagainya. Selain itu,
buku-buku pengajian, novel dan majalah yang masih boleh dibaca turut dijual dengan
harga yang lebih murah. Koleksi beg, dompet, kasut dan tali pinggang bagi lelaki
dan wanita tidak ketinggalan untuk mengambil tempat dalam acara car boot ini.
Tidak hairanlah barangan kanak-kanak seperti anak patung dan barangan permainan
turut dijual sekaligus menarik minat pengunjung di semua peringkat umur.
Sebenarnya, konsep utama penubuhan jualan
car boot ini untuk mengurangkan bebanan pemilik yang mempunyai lebihan barangan
di kediaman mereka mahupun pejabat peribadi dengan cara ‘kitar semula’ daripada
dibuang sebagai sampah sekaligus boleh menukarkannya dalam bentuk pulangan wang.
Selain itu, acara ini dianjurkan untuk mengumpul derma atas tujuan kebajikan bagi
mereka yang memerlukan menerusi dasar ihsan masyarakat. Kebiasaannya, acara ini
diadakan pada hujung minggu di hari Sabtu dan Ahad pada waktu sebelah pagi dan petang
untuk mengelak daripada cuaca panas di waktu tengahari. Banyak tempat yang
boleh diwujudkan untuk acara car boot ini di mana kebiasaannya yang paling
popular adalah di padang luas yang tentunya menjadi tumpuan bagi penjual car
boot dan pengunjung. Selain itu, tempat letak kereta, dewan-dewan tertentu,
kawasan-kawasan pelancongan, lorong-lorong bandaraya dan tidak kurang juga di
pasar malam dan pasar pagi turut mengambil tempat berkumpulnya para peniaga car
boot dan pengunjung. Yang pastinya, konsep utama jualan car boot ini menjadikan
tempat terbuka sebagai tapak penjualan barangan-barangan terpakai kepada para
pengunjungan yang memerlukan barangan tesebut.
Di
Malaysia, aktiviti perniagaan yang berbentuk car boot ini sedang pesat membangun
dan semakin mendapat tempat di hati para rakyatnya. Walaupun aktiviti ini masih
baru dan belum dikenali secara umum, namun jualan car boot sale ini semakin hari
semakin banyak permintaan dan ianya sentiasa dibuka bagaikan cendawan yang
tumbuh selepas hujan. Sebagai contoh tempat jualan car boot yang sedang
mendapat perhatian di Malaysia adalah seperti Car Boot Sale Lembah Keramat,
Kuala Lumpur, Car Boot Sale Tempat Letak Kenderaan Pusat Transformasi Bandar
(UTC), Kuantan, Car Boot Sale At Bistari De’ Kota, Jalan Teknologi 3/9, Kota
Damansara, Car Boot Sale Seksyen 4, Bangi, Car Boot Sale Bandar Sri Putra,
Bangi, Car Boot Sale Bukit Mahkota, Bangi, Car Boot Sale Dataran Seksyen 2,
Prima Saujana, Kajang dan sebagainya. Dengan wujudnya pembukaan-pembukaan tempat
jualan seperti ini, membuktikan bahawa jualan berbentuk car boot semakin menjadi
perniagaan yang sedang mendapat perhatian dan sering diperkatakan masyarakat.
Acap kali menjelang sahaja hari Sabtu dan Ahad, tempat-tempat seperti ini pasti
dipenuhi mereka bagaikan sebuah pesta masyarakat yang telah menjadi rutin
kehidupan sebilangan mereka.
Justeru
itu, jualan berbentuk car boot ini merupakan sebuah perniagaan yang mampu
membantu para peniaga yang mula berkecimpung dalam aktiviti keusahawanan
khususnya golongan belia yang baharu sahaja tamat pengajian samada di peringkat
menengah mahupun di peringkat universiti. Barangkali mereka yang mengambil
jurusan perniagaan dalam bidang pengajian memilih peluang jual beli car boot ini
sebagai langkah permulaan sebelum melangkah lebih jauh lagi dalam bidang
keusahawanan. Demikan ini secara tidak langsung mampu mengurangkan gejala pengangguran
di kalangan graduan yang sememangnya telah pun memiliki diploma mahupun ijazah.
Sekurang-kurangnya, aktiviti bercar boot ini boleh dijadikan asas untuk memupuk
semangat dan kemampuan mereka dalam urusan keusahawanan pada masa hadapan kelak.
Tidak terkecuali penulis mengatakan bahawa aktiviti jualan car boot ini sedikit
sebanyak membantu para mahasiswa mendapatkan pulangan untuk membantu pembiayaan
yuran pengajian dan kehidupan di kolej mahupun universiti. Selain itu, bagi
masyarakat yang bercita-cita mengubah ekonomi keluarga dengan bidang perniagaan,
aktiviti jualan car boot yang dijadikan sebagai pekerjaan tambahan sedikit
sebanyak mampu mengubah pendapatan tetap khususnya bagi mereka yang bekerja
makan gaji seperti di sektor kerjaan mahupun swasta. Secara umumnya, jualan car
ini boleh diceburi oleh semua lapisan masyarakat asalkan ianya dipandu dengan
usaha dan semangat sekaligus boleh mendatangkan hasil pulangan.
Malaysia
terkenal dengan tempat pelancongan dan dalam setahun sudah pasti pelancong luar
negara akan memenuhi Negara ini untuk menikmati alam semulajadi serta beberapa
perayaan masyarakat majmuk yang dikatakan unik seperti Thaipusam. Jadi, penulis
berpendapat bahahawa perniagaan berbentuk car boot ini sedikit sebanyak
membantu negara Malaysia dikenali oleh pelancong antarabangsa. Tidak dinafikan
bahawa perniagaan car boot amat digemari oleh mereka yang berkujung dari Eropah
disebabkan di Negara mereka sendiri menganggap aktivit bercar boot sebagai
acara jualan yang hebat yang diadakan setiap hujung minggu. Dengan ini, amat
bertepatan andai penulis mencadangkan agar pihak kerajaan Malaysia boleh
mengiktiraf acara jualan car boot Malaysia sebagai suatu aktiviti perniagaan
selain sebagai tempat pengunjungan pelancong antarabangsa dan kawasan
pelancongan. ini turut mengambil kira kawasan strategik yang mungkin dianggap
perlu untuk pihak kerajaan semak dan mengiktirafnya sebagai contoh di Petaling
Street.
Tidak
hairanlah apabila dikatakan bahawa setiap perniagaan yang diadakan tentu sekali
berkait rapat dengan aspek persaingan. Begitu juga dengan jualan car boot ini,
dengan banyaknya peniaga yang berkumpul di satu-satu tempat terbuka dalam
aktiviti yang sama, sudah tentu persaingan di kalangan mereka sentiasa menebal
dan semakin sengit. Pengunjung yang hadir bukanlah sentiasa ramai mungkin
disebabkan faktor cuaca seperti hujan. Jadi, kebarangkalian barangan terpakai
yang dijual mengambil masa yang agak lama untuk dihabiskan oleh sebab beberpa
kedai mempunyai barangan-barangan yang hampir serupa. Walaupun persaingan
seperti ini bukanlah untuk mengejar keuntungan semata-mata di kalangan
segelintir peniaga, namun barang terpakai yang dijual semakin hari semakin lama
dan lusuh yang memungkinkan tiada lagi pembeli yang mahukan barangan tersebut
lagi. Penulis juga tidak menafikan bahawa wujud peniaga yang menjadikan jualan
car boot ini untuk memperoleh keuntungan selagi ada.
Bercakap tentang persaingan, sudah
tentu perniagaan berbentuk car boot ini masih dianggap sebagai perniagaan kelas
kedua oleh penulis. Ini disebabkan perniagaan seperti bukanlah seperti
perniagaan standard sebagaimana yang terdapat di Malaysia antaranya pasaraya
Sogo, Giant, Mydin, Tesco mahupun kedai-kedai yang menjual pakaian dan barangan-barangan
elektrik. Malah aktiviti perniagaan car boot hanya menjual barangan terpakai,
cumanya barangan tersebut masih elok dan boleh digunakan lagi. Di tahun 2015
ini, sudah tentu masyarakat Malaysia kebanyakannya mempunyai kehidupan yang
selesa dan berpendapatan tinggi dalam isi rumah masing-masing. Jadi, sudah
tentu kebanyakan mereka akan mendapatkan barangan yang lebih berkualiti dan
berjenama berbanding barangan terpakai. ‘Alah membeli, benar memakai’.
Akhirnya, pasaran keuntungan sudah tentunya dimonopoli oleh pasaraya dan kedai
seperti yang diperkatakan berbanding tempat-tempat jualan car boot. Inilah
reality dalam dunia perniagaan. Namun, penulis tidaklah mengatakan perniagaan
berbentuk car boot tidak langsung mendatangkan jualan bagi mereka yang
benar-benar mencari untung. Ini kerana, masih banyak rakyat Malaysia yang
berkehendak untuk mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah, bukan
sahaja daripada mereka yang berpendapatan rendah tetapi turut diburu oleh
mereka yang berpendapatan tinggi biarpun barangan tersebut adalah barangan
terpakai.
Namun,
perniagaan berbentuk car boot ini juga adakalanya boleh mengundang beberapa
gejala yang tidak sihat walaupun banyak kebaikan dan manfaat yang boleh
diperoleh melalui saluran perniagaan ini. Sebagai contoh, dengan wujudnya
perniagaan car boot secara terbuka tanpa pengawasan pihak berkuasa, jualan car
boot lebih berisiko dalam aspek keselamatan. Tidak hairanlah besar kemungkinan
akan wujud kecurian-kecurian yang mungkin dilakukan pihak yang tidak
bertanggungjawab. Ini rentetan daripada banyaknya pengunjung dari semua
peringkat umur yang berpusu-pusu dalam sesuatu tempat sehingga kedapatan
peniaga yang kurang peka andai ada di antara pengunjung yang mengambil
kesempatan. Ini berikutan jualan car boot tiada premis disediakan sebagaimana
kedai-kedai yang disewa mahupun permilikan persendirian.
Selain
itu, perniagaan berbentuk car boot ini mungkin tergelincir sedikit konsepnya
apabila terdapat para peniaga yang turut menjual barangan-barangan baru mahupun
makanan yang sememangnya dijual di kedai-kedai premis mahupun pasaraya. Tidak
hairanlah dikatakan terdapat peniaga car boot yang membuka meja dengan
meletakkan barangan-barangan tempahan yang baru, makanan mahupun produk-produk
kesihatan yang kini menjadi kegilaan orang ramai. Lebih buruk lagi apabila
terdapat banyak peniaga car boot yang turut membuka gerai makanan kecil-kecilan
kononnya untuk memberi kemudahahan kepada pengunjung yang hadir menjamu selera
selepas letih mencari dan mendapatkan barangan yang diperlukan. Sudah tentulah
konsep car boot tidak diamati sebaiknya iaitu ‘jualan terus dari boot kereta’.
Jadi, tidak hairanlah barangan-barangan terpakai yang dijual peniaga lain
mungkin kurang mendapat sambutan daripada pengunjung disebabkan mereka boleh
mendapatkan barangan-barangan baru standing dengan pasaraya dan kedai. Lebih
malang lagi apabila barangan-barangan baru tersebut dijual dengan harga yang
lebih murah.
Malaysia
kaya dengan masyarakatnya yang berbilang kaum. Tidak kurang juga negara ini
gemar mengambil pekerja asing bekerja dalam sektor pengilangan, pembinaan,
pembuatan mahupun perniagaan di pasaraya, kedai makan dan stesen minyak.
Kemunculan pekerja asing di Negara ini sebenarnya member ruang kepada mereka
untuk mencari duit poket lain yang boleh menguntungkan mereka secara tidak
langsung. Rentetan itu, tidak hairanlah mereka turut bersama rakyat negara ini
untuk mencuba nasib dalam perniagaan berbentuk car boot. Kita sedia maklum
bahawa perniagaan car boot juga tidak memerlukan lesen perniagaan sebagaimana
premis kedai, restoran mahupun pasaraya. Jadi, peniaga di kalangan warga
Bangladesh, Pakistan, Arab, India, Vietnam dan sebagainya akan cuba sedaya
upaya mereka menceburi bidang tersebut biarpun perlu bersengkang mata dan
membahagi masa dengan kerja utama sebagai pekerja asing. Apa yang tidak menarik
di sini, adakalanya segelintir peniaga car boot di kalangan warga asing sengaja
menjual barangan terpakai mereka dengan harga yang sama dengan pasaraya mahupun
kedai, ataupun menjualnya dengan harga yang lebih tinggi. Perlakuan mengambil
kesempatan ini memungkinkan para pengunjung kurang berminat untuk berkunjung
dalam aktiviti car boot kerana menganggap barangan terpakai tidak sepatutnya
dijual dengan harga yang sama dengan pasaraya dan kedai yang sedia ada. Selain
persaingan dengan warga tempatan, perniagaan yang dicemari dengan perlakuan
negetif segelintir warga negara asing mungkin boleh membantutkan perkembangan
perniagaan berbentuk car boot yang semakin berleluasa di Malaysia.
Kesimpulan
yang boleh dirumuskan dalam perniagaan car boot di Malaysia sebenarnya boleh
diperkemaskan lagi oleh badan-badan NGO mahupun pihak kerajaan sendiri. Ini
kerana aktiviti perniagaan seperti ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan
bebanan masyarakat khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah. Dari sudut
pandangan lain, perniagaan berbentuk car boot di Malaysia wajar diiktiraf
sebagai pusat perniagaan barangan terpakai sekaligus menjadikannya sebagai
destinasi pelancongan kepada para pelancong dalam dan luar negara. Namun, pihak
kerajaan boleh mengambil kira aspek keselamatan dengan mewujudkan dan mewajibkan
pemilikan lesen perniagaan car boot agar tiada penyelewengan dan perbuatan
mengambil kesempatan bagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. tidak
terkecuali andainya penulis bersetuju agar pihak berwajib mengenakan terma dan
syarat dalam perniagaaan car boot ini sesuai dengan konsep ‘jualan terus dari
but kereta’ tanpa ditokok tambah dengan aktiviti yang lain. Sesuai dengan
ungkapan bahasa Inggeris ‘someone’s trash is another treasure’.