Thursday, March 26, 2015

Car Boot

Tajuk kerja kursus : Bincangkan tentang perniagaan bebentuk ‘car boot’ yang kini berleluasa di Malaysia. Cabaran dan masa hadapan perniagaan ini. 2000 perkataan.
            Darsa warsa ini, Malaysia tidak ketinggalan dalam  mengorak langkah mempelbagai sumber ekonomi selari dengan keperluan masyarakat seluruh dunia.Walaupun Malaysia masih dikenali dengan Negara membangun, itu bukan penghalang rakyatnya untuk mencipta variasi ekonomi yang diidamkan penduduk tempatan mahupun antarabangsa seperti pembuatan kraftangan, makanan, pakaian dan sebagainya. Kalau tidak, masakan negara-negara jiran turut mengimport sumber keperluan yang ada di Malaysia seperti buah-buahan, makanan laut, bijirin, perabot dan sebagainya untuk keperluan mereka. Selagi ada permintaan, selagi itulah ekonomi Negara bergerak.
            Walaubagaimanapun, perubahan sistem ekonomi dunia sekali sekala mengganggu pasaran harga barangan seluruh dunia khususnya dan tidak kertinggalan terhadap rakyat Malaysia amnya. Rentetan itu, haruslah rakyat Malaysia berbelanja secara berhemah walaupun banyak pasaraya dan kedai tidak henti-henti mengeluarkan produk baru yang dijana sesuai dengan peredaran semasa. Bagi mereka yang berpendapatan tinggi, untuk memperoleh barangan berkualiti dan berjenama dengan harga mencecah ratusan ringgit bukanlah suatu masalah berbanding mereka yang berpendapatan sederhana mahupun rendah. Selain itu, pergantian barangan yang baru memaksa kalangan berada untuk mengeluarkan barangan terpakai yang lama dari kediaman mereka yang dianggap ‘sampah’. Barangkali bagi mereka yang perihatin, barangan tersebut diberikan terus kepada masyarakat yang jarang-jarang memperoleh barangan berjenama seperti di rumah-rumah kebajikan.
            Berbeza di United Kingdom, barangan terpakai yang masih elok dan pada masa yang sama tidak diperlukan lagi akan ‘dikitar semula’ melalui aktiviti menjual barangan tersebut dengan harga yang lebih rendah sekaligus dianggap sebagai aktiviti masa lapang. Daripada terbuang begitu sahaja, tiada salah barangan terpakai tersebut dijual semula dan sekurang-kurangnya mereka memperoleh pulangan walaupun pulangan tidaklah menjurus kepada keuntungan semata-mata. Di sana, terdapat kira-kira 800 kawasan menjual barangan terpakai dan di Nottingham sahaja, terdapat kira-kira 28 kawasan yang diadakan setiap minggu untuk aktiviti ini. Kebiasaannya, pemilik-pemilik akan mengumpulkan barangan tersebut di dalam kereta mahupun van dan mereka akan berkumpul di suatu tempat yang luas seperti padang, tempat parkir kereta mahupun dewan tertutup apabila menjelang musim sejuk pada hujung minggu di hari Sabtu dan Ahad untuk menjual barangan tersebut. Aktiviti seperti inilah yang dikenali sebagai ‘car boot’ atau dalam Bahasa Melayunya ‘jualan terus dari but kereta’. Adakalanya, aktiviti seperti ini turut diadakan pada hari bekerja di sebelah petang bergantung kepada keadaan semasa. Jadi, penduduk-penduduk di negara sana akan mengisi masa lapang bersama keluarga khususnya di hujung minggu dengan mengunjung tempat-tempat sebegini sekaligus memperoleh barangan yang dikehendaki. Pengunjung kebanyakannya daripada kalangan berpendapatan rendah yang menyedari diri mereka tidak selari dengan aliran perubahan ekonomi semasa. Demikian bukan kerana mereka tidak mampu dengan harga yang ditawarkan di pasaraya mahupun kedai, tetapi mereka lebih yakin dan percaya dengan saluran runcit alternatif yang ada seperti jualan car boot. Tidak dinafikan aktiviti car boot ini turut dikunjungi oleh penduduk di kalangan yang berpendapatan tinggi.
            Untuk pengenalannya, penulis akan menjelaskan secara terperinci apa yang dikatakan dengan jualan car boot (Car Boot Sale). Jualan car boot adalah satu acara dimana penjual atau pemilik menjual barang-barang terpakai mereka kepada pengunjung-pengunjung yang datang untuk mendapatkan barangan yang dikehendaki dengan harga yang lebih rendah berbanding di pasaraya, butik mahupun kedai yang sememangnya dijual dengan harga mahal dan standard. Barang terpakai yang dijual masih elok dan baik seperti barangan keperluan rumah, barangan hiasan rumah, peralatan pinggan magkuk, peralatan kebun, barangan elektrik, barangan antic dan baju-baju pemilik yang mungkin tidak boleh digunakan lagi kerana ketat dan sebagainya. Selain itu, buku-buku pengajian, novel dan majalah yang masih boleh dibaca turut dijual dengan harga yang lebih murah. Koleksi beg, dompet, kasut dan tali pinggang bagi lelaki dan wanita tidak ketinggalan untuk mengambil tempat dalam acara car boot ini. Tidak hairanlah barangan kanak-kanak seperti anak patung dan barangan permainan turut dijual sekaligus menarik minat pengunjung di semua peringkat umur.
Sebenarnya, konsep utama penubuhan jualan car boot ini untuk mengurangkan bebanan pemilik yang mempunyai lebihan barangan di kediaman mereka mahupun pejabat peribadi dengan cara ‘kitar semula’ daripada dibuang sebagai sampah sekaligus boleh menukarkannya dalam bentuk pulangan wang. Selain itu, acara ini dianjurkan untuk mengumpul derma atas tujuan kebajikan bagi mereka yang memerlukan menerusi dasar ihsan masyarakat. Kebiasaannya, acara ini diadakan pada hujung minggu di hari Sabtu dan Ahad pada waktu sebelah pagi dan petang untuk mengelak daripada cuaca panas di waktu tengahari. Banyak tempat yang boleh diwujudkan untuk acara car boot ini di mana kebiasaannya yang paling popular adalah di padang luas yang tentunya menjadi tumpuan bagi penjual car boot dan pengunjung. Selain itu, tempat letak kereta, dewan-dewan tertentu, kawasan-kawasan pelancongan, lorong-lorong bandaraya dan tidak kurang juga di pasar malam dan pasar pagi turut mengambil tempat berkumpulnya para peniaga car boot dan pengunjung. Yang pastinya, konsep utama jualan car boot ini menjadikan tempat terbuka sebagai tapak penjualan barangan-barangan terpakai kepada para pengunjungan yang memerlukan barangan tesebut.
            Di Malaysia, aktiviti perniagaan yang berbentuk car boot ini sedang pesat membangun dan semakin mendapat tempat di hati para rakyatnya. Walaupun aktiviti ini masih baru dan belum dikenali secara umum, namun jualan car boot sale ini semakin hari semakin banyak permintaan dan ianya sentiasa dibuka bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Sebagai contoh tempat jualan car boot yang sedang mendapat perhatian di Malaysia adalah seperti Car Boot Sale Lembah Keramat, Kuala Lumpur, Car Boot Sale Tempat Letak Kenderaan Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuantan, Car Boot Sale At Bistari De’ Kota, Jalan Teknologi 3/9, Kota Damansara, Car Boot Sale Seksyen 4, Bangi, Car Boot Sale Bandar Sri Putra, Bangi, Car Boot Sale Bukit Mahkota, Bangi, Car Boot Sale Dataran Seksyen 2, Prima Saujana, Kajang dan sebagainya. Dengan wujudnya pembukaan-pembukaan tempat jualan seperti ini, membuktikan bahawa jualan berbentuk car boot semakin menjadi perniagaan yang sedang mendapat perhatian dan sering diperkatakan masyarakat. Acap kali menjelang sahaja hari Sabtu dan Ahad, tempat-tempat seperti ini pasti dipenuhi mereka bagaikan sebuah pesta masyarakat yang telah menjadi rutin kehidupan sebilangan mereka.
            Justeru itu, jualan berbentuk car boot ini merupakan sebuah perniagaan yang mampu membantu para peniaga yang mula berkecimpung dalam aktiviti keusahawanan khususnya golongan belia yang baharu sahaja tamat pengajian samada di peringkat menengah mahupun di peringkat universiti. Barangkali mereka yang mengambil jurusan perniagaan dalam bidang pengajian memilih peluang jual beli car boot ini sebagai langkah permulaan sebelum melangkah lebih jauh lagi dalam bidang keusahawanan. Demikan ini secara tidak langsung mampu mengurangkan gejala pengangguran di kalangan graduan yang sememangnya telah pun memiliki diploma mahupun ijazah. Sekurang-kurangnya, aktiviti bercar boot ini boleh dijadikan asas untuk memupuk semangat dan kemampuan mereka dalam urusan keusahawanan pada masa hadapan kelak. Tidak terkecuali penulis mengatakan bahawa aktiviti jualan car boot ini sedikit sebanyak membantu para mahasiswa mendapatkan pulangan untuk membantu pembiayaan yuran pengajian dan kehidupan di kolej mahupun universiti. Selain itu, bagi masyarakat yang bercita-cita mengubah ekonomi keluarga dengan bidang perniagaan, aktiviti jualan car boot yang dijadikan sebagai pekerjaan tambahan sedikit sebanyak mampu mengubah pendapatan tetap khususnya bagi mereka yang bekerja makan gaji seperti di sektor kerjaan mahupun swasta. Secara umumnya, jualan car ini boleh diceburi oleh semua lapisan masyarakat asalkan ianya dipandu dengan usaha dan semangat sekaligus boleh mendatangkan hasil pulangan.
            Malaysia terkenal dengan tempat pelancongan dan dalam setahun sudah pasti pelancong luar negara akan memenuhi Negara ini untuk menikmati alam semulajadi serta beberapa perayaan masyarakat majmuk yang dikatakan unik seperti Thaipusam. Jadi, penulis berpendapat bahahawa perniagaan berbentuk car boot ini sedikit sebanyak membantu negara Malaysia dikenali oleh pelancong antarabangsa. Tidak dinafikan bahawa perniagaan car boot amat digemari oleh mereka yang berkujung dari Eropah disebabkan di Negara mereka sendiri menganggap aktivit bercar boot sebagai acara jualan yang hebat yang diadakan setiap hujung minggu. Dengan ini, amat bertepatan andai penulis mencadangkan agar pihak kerajaan Malaysia boleh mengiktiraf acara jualan car boot Malaysia sebagai suatu aktiviti perniagaan selain sebagai tempat pengunjungan pelancong antarabangsa dan kawasan pelancongan. ini turut mengambil kira kawasan strategik yang mungkin dianggap perlu untuk pihak kerajaan semak dan mengiktirafnya sebagai contoh di Petaling Street.
            Tidak hairanlah apabila dikatakan bahawa setiap perniagaan yang diadakan tentu sekali berkait rapat dengan aspek persaingan. Begitu juga dengan jualan car boot ini, dengan banyaknya peniaga yang berkumpul di satu-satu tempat terbuka dalam aktiviti yang sama, sudah tentu persaingan di kalangan mereka sentiasa menebal dan semakin sengit. Pengunjung yang hadir bukanlah sentiasa ramai mungkin disebabkan faktor cuaca seperti hujan. Jadi, kebarangkalian barangan terpakai yang dijual mengambil masa yang agak lama untuk dihabiskan oleh sebab beberpa kedai mempunyai barangan-barangan yang hampir serupa. Walaupun persaingan seperti ini bukanlah untuk mengejar keuntungan semata-mata di kalangan segelintir peniaga, namun barang terpakai yang dijual semakin hari semakin lama dan lusuh yang memungkinkan tiada lagi pembeli yang mahukan barangan tersebut lagi. Penulis juga tidak menafikan bahawa wujud peniaga yang menjadikan jualan car boot ini untuk memperoleh keuntungan selagi ada.
Bercakap tentang persaingan, sudah tentu perniagaan berbentuk car boot ini masih dianggap sebagai perniagaan kelas kedua oleh penulis. Ini disebabkan perniagaan seperti bukanlah seperti perniagaan standard sebagaimana yang terdapat di Malaysia antaranya pasaraya Sogo, Giant, Mydin, Tesco mahupun kedai-kedai yang menjual pakaian dan barangan-barangan elektrik. Malah aktiviti perniagaan car boot hanya menjual barangan terpakai, cumanya barangan tersebut masih elok dan boleh digunakan lagi. Di tahun 2015 ini, sudah tentu masyarakat Malaysia kebanyakannya mempunyai kehidupan yang selesa dan berpendapatan tinggi dalam isi rumah masing-masing. Jadi, sudah tentu kebanyakan mereka akan mendapatkan barangan yang lebih berkualiti dan berjenama berbanding barangan terpakai. ‘Alah membeli, benar memakai’. Akhirnya, pasaran keuntungan sudah tentunya dimonopoli oleh pasaraya dan kedai seperti yang diperkatakan berbanding tempat-tempat jualan car boot. Inilah reality dalam dunia perniagaan. Namun, penulis tidaklah mengatakan perniagaan berbentuk car boot tidak langsung mendatangkan jualan bagi mereka yang benar-benar mencari untung. Ini kerana, masih banyak rakyat Malaysia yang berkehendak untuk mendapatkan barangan dengan harga yang lebih rendah, bukan sahaja daripada mereka yang berpendapatan rendah tetapi turut diburu oleh mereka yang berpendapatan tinggi biarpun barangan tersebut adalah barangan terpakai.
            Namun, perniagaan berbentuk car boot ini juga adakalanya boleh mengundang beberapa gejala yang tidak sihat walaupun banyak kebaikan dan manfaat yang boleh diperoleh melalui saluran perniagaan ini. Sebagai contoh, dengan wujudnya perniagaan car boot secara terbuka tanpa pengawasan pihak berkuasa, jualan car boot lebih berisiko dalam aspek keselamatan. Tidak hairanlah besar kemungkinan akan wujud kecurian-kecurian yang mungkin dilakukan pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini rentetan daripada banyaknya pengunjung dari semua peringkat umur yang berpusu-pusu dalam sesuatu tempat sehingga kedapatan peniaga yang kurang peka andai ada di antara pengunjung yang mengambil kesempatan. Ini berikutan jualan car boot tiada premis disediakan sebagaimana kedai-kedai yang disewa mahupun permilikan persendirian.
            Selain itu, perniagaan berbentuk car boot ini mungkin tergelincir sedikit konsepnya apabila terdapat para peniaga yang turut menjual barangan-barangan baru mahupun makanan yang sememangnya dijual di kedai-kedai premis mahupun pasaraya. Tidak hairanlah dikatakan terdapat peniaga car boot yang membuka meja dengan meletakkan barangan-barangan tempahan yang baru, makanan mahupun produk-produk kesihatan yang kini menjadi kegilaan orang ramai. Lebih buruk lagi apabila terdapat banyak peniaga car boot yang turut membuka gerai makanan kecil-kecilan kononnya untuk memberi kemudahahan kepada pengunjung yang hadir menjamu selera selepas letih mencari dan mendapatkan barangan yang diperlukan. Sudah tentulah konsep car boot tidak diamati sebaiknya iaitu ‘jualan terus dari boot kereta’. Jadi, tidak hairanlah barangan-barangan terpakai yang dijual peniaga lain mungkin kurang mendapat sambutan daripada pengunjung disebabkan mereka boleh mendapatkan barangan-barangan baru standing dengan pasaraya dan kedai. Lebih malang lagi apabila barangan-barangan baru tersebut dijual dengan harga yang lebih murah.
            Malaysia kaya dengan masyarakatnya yang berbilang kaum. Tidak kurang juga negara ini gemar mengambil pekerja asing bekerja dalam sektor pengilangan, pembinaan, pembuatan mahupun perniagaan di pasaraya, kedai makan dan stesen minyak. Kemunculan pekerja asing di Negara ini sebenarnya member ruang kepada mereka untuk mencari duit poket lain yang boleh menguntungkan mereka secara tidak langsung. Rentetan itu, tidak hairanlah mereka turut bersama rakyat negara ini untuk mencuba nasib dalam perniagaan berbentuk car boot. Kita sedia maklum bahawa perniagaan car boot juga tidak memerlukan lesen perniagaan sebagaimana premis kedai, restoran mahupun pasaraya. Jadi, peniaga di kalangan warga Bangladesh, Pakistan, Arab, India, Vietnam dan sebagainya akan cuba sedaya upaya mereka menceburi bidang tersebut biarpun perlu bersengkang mata dan membahagi masa dengan kerja utama sebagai pekerja asing. Apa yang tidak menarik di sini, adakalanya segelintir peniaga car boot di kalangan warga asing sengaja menjual barangan terpakai mereka dengan harga yang sama dengan pasaraya mahupun kedai, ataupun menjualnya dengan harga yang lebih tinggi. Perlakuan mengambil kesempatan ini memungkinkan para pengunjung kurang berminat untuk berkunjung dalam aktiviti car boot kerana menganggap barangan terpakai tidak sepatutnya dijual dengan harga yang sama dengan pasaraya dan kedai yang sedia ada. Selain persaingan dengan warga tempatan, perniagaan yang dicemari dengan perlakuan negetif segelintir warga negara asing mungkin boleh membantutkan perkembangan perniagaan berbentuk car boot yang semakin berleluasa di Malaysia.
            Kesimpulan yang boleh dirumuskan dalam perniagaan car boot di Malaysia sebenarnya boleh diperkemaskan lagi oleh badan-badan NGO mahupun pihak kerajaan sendiri. Ini kerana aktiviti perniagaan seperti ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan masyarakat khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah. Dari sudut pandangan lain, perniagaan berbentuk car boot di Malaysia wajar diiktiraf sebagai pusat perniagaan barangan terpakai sekaligus menjadikannya sebagai destinasi pelancongan kepada para pelancong dalam dan luar negara. Namun, pihak kerajaan boleh mengambil kira aspek keselamatan dengan mewujudkan dan mewajibkan pemilikan lesen perniagaan car boot agar tiada penyelewengan dan perbuatan mengambil kesempatan bagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. tidak terkecuali andainya penulis bersetuju agar pihak berwajib mengenakan terma dan syarat dalam perniagaaan car boot ini sesuai dengan konsep ‘jualan terus dari but kereta’ tanpa ditokok tambah dengan aktiviti yang lain. Sesuai dengan ungkapan bahasa Inggeris ‘someone’s trash is another treasure’.
Sekian, terima kasih.

Wednesday, March 11, 2015

Kerja Kursus Penglahiran Bakat Kreatif ~ Destinasi Pilihan Untuk Memulakan Karya Novel "Mencari Sinar Di Sebalik Persimpangan Sepi".

Penglahiran bakat kreatif. Suatu perasaan telah bermain di benak mindaku yang sentiasa inginkan cambahan maklumat baru, tertanya-tanya  apakah  yang bakal dipelajari dalam kursus unik ini di universiti. Terlintas di lubuk hati bagaikan berada di kawah kebudayaan. Walau bagaimanapun, hatiku girang setelah diulas Dr. Kamariah Kamarudin bahawa kursus ini bakal menyinar bakat-bakat terpendam mahasiswa dan mahasiswi yang bersamanya dalam tempoh satu trimester. Beliau merupakan pensyarah yang tidak asing lagi bisa mencipta karya yang menebal kemelayuannya. Hatiku yang gemarkan sastera dan puisi Melayu yang disulam indah bahasanya umpama mentari terbit di ufuk timur di waktu hening pagi melebihkan lagi kecintaan aku terhadap bahasa Melayu. Kerana aku telah percaya, akulah antara insan seni yang sentiasa teruja dengan sesuatu yang kreatif.
            Tugasan pertama dihadiah Dr. Kamariah kepada aku dan sahabat untuk membuat lawatan berkumpulan sebelum menghasilkan karya. Wah! Aku bakal disaji lagi dengan kenangan baru bersama sahabat-sahabat yang sememangnya mampu menyimpan memori indah pada masa mendatang setelah sekian lama mengakhiri zaman pengajian diploma dahulu. Kami akan dibentuk beberapa kumpulan dan disaran memilih destinasi yang diperhalusi dan dipersetujui untuk menterjemah bakat masing-masing dalam berkarya di sana nanti.
            Masjid Negara. Itulah destinasi yang disepakati aku dan sahabat untuk melahirkan sebuah karya yang bakal dikarang masing-masing oleh kami nanti. Selangkahnya aku ke Masjid Negara, hatiku menjadi tenang setenang tasik di lembah kayangan. Kolam air yang luas beserta pancutan air yang diatur rentak membayangkan seolah-olah aku berada di sungai semulajadi yang jernih airnya. Ukiran unik pada bangunan masjid membuatkan aku terpesona dengan lakaran-lakaran indah yang jarang aku ketemui. Ayat-ayat Allah yang memenuhi dinding-dinding masjid di ruangan utama solat menjadikan aku lebih terpesona dan berasa semakin kerdil dengan keagunganNya. Ayat Al-Quran yang dipaparkan menyulam tenang hatiku. Aku yang sememangnya sentiasa mengharap ketenangan dalam hidup ini mampu merasai keindahan Masjid Negara yang dijanji Ilahi sebagai taman-taman syurga.
            Teruja sejenak di pangkalan mindaku apabila mendapati banyak bangsa-bangsa asing dari luar negara sempat berkunjung ke Masjid Negara untuk melihat keunikan bangunan yang tersergam itu di tengah-tengah kota metripolitan yang penuh dengan kesibukan tidak terduga. Hatiku bisa tertawa kecil mamandang jubah ungu telah disarung pelancong wanita yang belum biasa mengenakan sehelai pakaian yang melindung auratnya di masjid itu. Moga mereka disaji hidayah dariNya.
            Melihatkan juga kunjungan umat Islam dari pelbagai negara termasuk Malaysia yang berkunjung ke Masjid Negara membuatkan aku bungkam tidak berkata apa-apa. Bungkam kerana percaya ketulan hati mereka masih menebal mengharap redha yang Maha Kuasa. Mereka yang sempat beristirehat di dalam bangunan besar itu terpancar raut wajah yang riang dan tenang yang begitu sukar untuk aku gambarkan di sini. Seolah-olah kekosongan dan kesepian jiwa mereka di dunia ini diisi dengan sesuatu yang berharga yang tidak mungkin boleh dijual beli. Anak-anak kecil yang belum pernah mengenal erti kehidupan turut terluah rasa riang dalam diri mereka bersama keluarga tercinta di mana tidak sedar ketenangan itu juga telah berpaut dalam bibit-bibit  senyuman mereka. Apa yang pasti, aku juga merasai keriangan dan ketenangan itu tanpa mudah untuk aku rungkaikan. Kerana aku telah percaya, hanya masjidlah destinasi paling hebat lebih dari destinasi-destinasi di seluruh pelojok dunia untuk menimba keriangan dan juga ketenangan sebagai gedung ibadah dan ilmu.
            Melihatkan gelajat pengunjung-pengunjung pilihan Ilahi itu ke Masjid Negara, timbul pada perasaan aku untuk mewujudkan watak seorang insan bernama Isma dalam karyaku. Dia ingin kembali kepada Tuhannya untuk mengharap redha dan rahmat setelah bertarung masa dan keadaan menempuh hidup yang penuh dengan kekosongan dan kesepian seawal remaja. Dengan keterbukaan diriku menyambut cabaran untuk berkarya, aku telah membuat keputusan tepat untuk menghasilkan sebuah novel yang turut menyertakan watak-watak yang melengkapkan jalan penceritaan perjalanan hidup Isma seperti Pak Yusof sebagai bapa, Mak Pah sebagai ibu dan watak rakan-rakan yang turut mempengaruhi hidupnya seperti Fardi, Zaili, Faiz dan banyak lagi dari pelbagai daerah dan negeri.

            Aku mengharap redha Ilahi agar novel yang bakal aku sempurnakan memberi kesan mendalam kepada pembaca untuk menyedari sesuatu yang tersirat mesti diambil peduli agar tiada yang tersakiti.